Posts Tagged ‘harun’

Empat Syarat Cegah Munkar

May 23rd, 2010
Amar makruf nahi munkar

Amar makruf nahi munkar

Hadis sumber :

“من رأى منكم منكرًا فليغيره بيده، فمن لم يستطع فبلسانه، فمن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان”. (رواه مسلم في كتاب الإيمان من صحيحه عن أبي سعيد الخدري).

Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah  dia mencegahnya dengan tangan, siapa yang tidak mampu, cegahlah dengan lidahnya dan siapa tidak mampu dengan lidahnya, cegahlah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman” .(Riwayat Muslim dari Abi Said Al-Khudri)

Syarat-syarat mencegah kemungkaran

Syarat pertama : Perkara yang ingin ditegah ialah yang berstatus haram sahaja :

Ianya bererti perkara yang diharamkan oleh ulama secara ijmak. Selain dari perkara haram tidak disebut munkar. Perkara yang haram itu samaada melakukan yang ditegah ataupun meninggalkan yang disuruh. Yang haram itu juga tidak kira kecil atau besar.

Perkara-perkara yang makruh tidak termasuk dalam perkara munkar yang layak ditegah. Didalam sebuah hadis diceritakan bahawa seorang lelaki bertanyakan Nabi S.A.W kewajipan yang Allah fardhukan ke atasnya di dalam islam. Nabi pun menjelaskan kepadanya tentang solat, zakat, puasa. Lelaki itu bertanya Nabi mengenai setiap ibadat itu : Adakah lagi yang wajib aku lakukan? Jawab nabi “tidak!” melainkan perkara ibadat sunat sahaja. Lelaki itu pun berazam akan melakukan perkara wajib seperti yang dijelaskan Nabi kepadanya dengan katanya : Wahai Rasulullah! Aku tidak mahu menambah atau mengurangkan kewajipan yang telah engkau sebutkan tadi. Nabi pun bersabda : “ Jika kamu bercakap benar, kamu akan berjaya atau memasuki syurga” (muttafaq alaih dari Talhah bin Ubaidillah)

Dari Hadis di atas jelas dan difahami bahawa yang perlu ditegah itu ialah yang haram sahaja. Perkara cabang yang menjadi pertikaian hukum di kalangan ulama dulu dan sekarang, tidak  boleh ditegah sewenangnya lebih-lebih lagi oleh orang perseorangan.

Antara perkara –perkara khilaf yang tidak termasuk dalam perkara munkar yang perlu ditegah ialah : masalah merakam gambar (Kodak atau filem), menyanyi atau bernasyid menggunakan alat-alat tertentu, perempuan yang tidak memakai niqab, melantik perempuan sebagai hakim dan sebagainya lagi.

Mengikut pandangan kebanyakan ulama bahawa pandangan minoriti boleh diambil kira walaupun ahlinya seorang sahaja asalkan dia adalah seorang ahli ijtihad. Berapa banyak pendapat yang tidak popular  pada suatu masa dahulu, tetapi sekarang menjadi popular. Berapa banyak juga pandangan seorang ahli fekah itu dipertikaikan tetapi akhirnya dibela dan disokong oleh ulama lain.

Di beberapa tempat terdapat golongan-golongan radikal yang mahu merobohkan kedai-kedai yang menjual anak patung kanak-kanak dengan alasan ianya adalah berhala dan  memiliki anggota yang lengkap yang boleh dikategorikan sebagai dosa besar!

Apabila dikatakan kepada mereka bahawa ulama sejak dahulu lagi menghalalkan patung kanak-kanak.! Mereka menjawab bahawa patung tersebut tidak termasuk dalam kategori yang digariskan ulama di mana matanya boleh dibuka dan ditutup!

Lalu dijawab balik bahawa patung-patung tersebut tidak dimuliakan dan dilempar sana sini, maka ianya tidak menjadi masalah untuk dimiliki oleh kanak-kanak. Begitu juga kaki dan tangannya boleh dicabut begitu juga dengan tengkuknya. Selepas itu mereka tidak ada jawapan untuk dibalas.

Ada juga di sesetengah tempat dimana segolongan orang yang radikal  cuba menutup restoran-restoran, kedai-kedai makan dan kedai-kedai kopi secara agresif hanya setelah mengetahui ada negara-negara lain telah mengumumkan bahawa hari tersebut telah bermula bulan puasa padahal ditempatnya belum lagi. Golongan yang syadid itu berpandangan bahawa bulan puasa telah pasti, maka tidak boleh menjamu selera secara terang-terangan, padahal mereka tidak tahu bahawa itu adalah perkara khilaf dan tidak perlu gopoh gapah membuat keputusan.

Syarat kedua : Perkara munkar itu hendaklah yang berlaku secara terang-terangan di depan mata.

Adapun perkara munkar yang disembunyikan oleh pelakunya dari pandangan orang ramai yakni secara senyap-senyap di dalam rumah misalnya, maka tidak boleh orang lain mengintipnya seperti meletakan kamera video di  tempat tersembunyi dengan tujuan mencari kesalahan pelakunya.

Syarat yang kedua ini terkandung dalam lafaz Hadis : “من “رأى” منكم منكرًا فليغيره…”

Ertinya : “ sesiapa di kalangan kamu yang melihat perkara munkar, hendaklah dia mencegahnya….”

Yang disuruh cegah ialah kemungkaran yang dilihat sahaja bukannya yang hanya didengar.

Demikian kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada perlakuan munkar yang dilakukan secara sembunyi. Hanya kepada Allah sahaja diserahkan hukumannya di akhirat kelak. Dengan itu orang lain tidak berhak dan tidak boleh berusaha mendedahkan perlakuan munkarnya di khalayak ramai. Kita hanya disuruh bertindak mencegah kemungkaran yang zahir sahaja sementara yang tersembunyi kita hendaklah menyerahkannya kepada Allah S.W.T.

Ada sebuah kisah yang berlaku dimana Amirul Mukminin Umar Al-Khattab R.A pada suatu hari telah menyelinap ke dalam rumah seorang lelaki melalui bumbung rumahnya. Kemudian saidina Umar melihat lelaki itu melakukan satu perkara yang tidak baik lalu dia pun menegah lelaki tersebut dari berbuat demikian. Kemudian lelaki itu berkata : “ Wahai Amiirul Mukminin, kesalahan yang aku lakukan ini adalah satu jenis sahaja, sedangkan engkau melakukan 3 jenis kesalahan” Umar pun bertanya: “Apakah yang kau maksudkan?” Lelaki itupun berkata : “Allah melarang kita dari mengintip seperti dalam surah Al-Hujurat ayat 12, tetapi kamu mengintip aku. Kedua, Allah menyuruh kita memasuki rumah dari pintunya seperti yang terkandung dalam surah Al-Baqarah ayat 189, sedangkan kamu pula memasuki rumahku dari bumbung. Ketiga, Allah menyuruh kita memasuki rumah yang bukan rumah sendiri dengan memberi salam melalui ayatNya dalam surah An-Nur tetapi engkau tidak memberi salam semasa memasuki rumahku! Umar pun meninggalkan lelaki itu dengan syarat dia bertaubat dari kesalahan yang telah dilakukannya tadi.

Syarat ketiga : Kemampuan mencegah.

Ertinya pihak yang mahu mencegah kemungkaran itu mestilah ada kekuatan samaada dirinya sendiri atau dengan pertolongan orang lain yakni berkumpulan dengan menggunakan kuasa yang ada samaada dari sudut peralatan mahupun pengaruh. Dengan kemampuan ini akan menjadikan tindakan pencegahan itu dilaksanakan dengan mudah.

Syarat ini juga diambil dari hadis Abi Said; dengan sabda Nabi S.A.W : “Sesiapa yang tidak mampu (mencegah dengan tangan) maka cegahlah dengan lidah”. Biarkan pencegahan dengan tangan dilakukan oleh pihak berkuasa, cukuplah dia mencegah dengan kata-katanya. Itupun sekadar kemampuannya.

Pelaksanaan tegahan itu hendaklah ke atas orang yang berada di bawah bidang kuasanya sahaja seperti suami dengan isteri, ayah dengan anak-anaknya, pemilik pertubuhan dengan ahli-ahlinya dan pemerintah dengan rakyat jelatanya.

Syarat keempat : Pencegahan yang dilakukan tidak menimbulkan keburukan yang lebih besar.

Sekiranya ditakuti jika perbuatan mungkar yang akan dicegah akan menyebabkan perkara yang lebih buruk berlaku seperti pertumpahan darah, pencemaran maruah dan kerosakan harta benda, maka ulamak membenarkan perkara mungkar tersebut dibiarkan demi mngelakan kejadian yang lebih buruk. Dalil syarat yang keempat ini terdapat dalam Al-Quran di dalam surah Taha iaitu kisah Nabi Musa a.s dan kaumnya, bani israil ketika mana baginda pergi berjumpa Tuhannya (Allah) yang memakan masa 40 malam. Sepeninggalan baginda, samiri telah menimbulkan fitnah kepada bani israil dengan mencipta patung anak lembu dari emas sehingga menyebabkan bani israil menyembah patung tersebut. Nabi Harun a.s yang diamanahkan oleh Nabi Musa menjaga bani israil telah menasihatkan mereka agar tidak menyembah patung anak lembu tersebut tetapi tidak diendahkan oleh mereka. Mereka berkata kepada Nabi harun :

“Kami akan tetap menyembah patung anak lembu ini, hingga Musa kembali kepada kami”.

(Taha : 91)

Kemudian Nabi Musa pun kembali dari berjumpa Tuhannya lalu melihat perkara mungkar yang telah dilakukan oleh kaumnya itu. Baginda menjadi marah dengan saudaranya Nabi Harun  kerana tidak mencegah perbuatan mungkar yang telah dilakukan mereka. Disebabkan marah yang keterlaluan, Nabi Musa pun menarik janggut Nabi Harun menghampirinya lalu berkata :

Hai Harun, apa yang menghalangi kamu ketika kamu melihat mereka Telah sesat,

(sehingga) kamu tidak mengikuti Aku? Maka apakah kamu Telah (sengaja) mendurhakai perintahku?”

Harun menjawab’ “Hai putera ibuku, janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku;

Sesungguhnya Aku khawatir bahwa kamu akan Berkata (kepadaku): “Kamu Telah memecah antara Bani Israil

dan kamu tidak memelihara amanatku”.

(Taha : 92-94)

Dari ayat tadi dapatlah difahami bahawa Nabi Harun mengutamakan perpaduan di kalangan bani israil sepeninggalan Nabi Musa a.s berbanding syirik yang dilakukan mereka di mana perpecahan itu lebih buruk akibatnya pada waktu itu. Kedua-dua orang Nabi tadi faham bagaimana untuk menghadapi situasi getir secara bijaksana.

Demikianlah empat syarat yang wajib dipenuhi oleh orang yang ingin mencegah kemungkaran dengan tangannya(kuasa).

Tidak perlu gopoh dalam mencegah kemungkaran kecil :

Buat golongan yang sangat mengambil berat dalam memperbaiki cara hidup umat islam dari gejala-gejala mungkar yang berpunca dari negara barat, adalah tidak cukup dengan hanya mencegah perkara mungkar yang kecil-kecil sahaja seperti majlis nyanyian, wanita mendedah aurat di jalanan, menjual VCD yang tak sepatutnya.

Di sana terdapat perkara yang lebih utama diberi perhatian iaitulah membuat perubahan yang merangkumi pemikiran, nilai hidup, akhlak, ikutan, peraturan dan undang-undang.

Untuk mencapai kepada matlamat itu, terlebih dahulu hendaklah diubah masyarakat itu dari dalam secara berterusan dari sudut tunjuk ajar, pendidikan dan teladan. Apabila manusia itu mengubah keadaan diri mereka layaklah mereka diubah oleh Allah S.W.T bertepatan dengan sunnah yang ditetapkan dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan  yang ada pada diri mereka sendiri. “(Arraadu : 11)

Pentingnya berlembut dalam mencegah kemungkaran :

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian di sini ialah berlemah lembut dalam mencegah perkara mungkar dan menyuruh pelakunya melakukan kebaikan, Rasulullah S.A.W telah mewasiatkan kita supaya berlembut, Baginda menjelaskan bahawa Allah S.W.T suka akan kelembutan dalam semua perkara, sifat lemah lembut itu akan menghiasi apa sahaja yang disertainya, jika sifat ini tidak ada pada sesuatu perkara, maka akan hilanglah serinya.

Ada sebuah kisah yang berlaku seperti yang diceritakan oleh Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya “Al-Ihya’ “ bahawa seorang lelaki pergi berjumpa Al-Makmun untuk menyuruhnya berbuat baik dan melarangnya dari berbuat mungkar, lalu dengan kasar dia berkat kepada Al-Makmun : “Wahai penzalim, wahai penjahat…….. “ Dalam keadaan itu Al-Makmun sebagai seorang lembut lagi bijak, tidak terus menghukum lelaki tersebut seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, tetapi dia berkata: “Wahai lelaki, berlembutlah sikit, sesungguhnya Allah telah mengutuskan orang yang lebih baik darimu kepada orang yang lebih zalim dariku…Allah menyuruhnya bersifat lembut, Dia mengutuskan Musa dan Harun yang lebih baik darimu kepada firaun yang lebih zalim dariku. Allah memerintahkan kedua-dua orang nabi tadi melalui firmanNya :

“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, Sesungguhnya dia Telah melampaui batas;

Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut”.(Taha:43-44)

Walaupun Allah S.W T menyifatkan firaun itu sebagai seorang yang melampaui batas, kelembutan itu tidak sepatutnya diabaikan walau setara manapun kezaliman yang dilakukan. Selama mana ada jalan yang lemah lembut, maka tidak perlu kepada kekasaran.

Sekian,

Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W  juga keluarga dan para sahabat Baginda.

Wallahu a’lam.

Dinukilkan dari : islamonline.net

Related Posts with Thumbnails
Share