Dengan nama Allah, segala puji bagiNya yang masih membenarkan kita menikmati ramadhan buat ke sekelian kalinya. Ramadhan kali ini banyak peristiwa yang berlaku di persekitaran saya yang memberi keinsafan termasuklah kematian. Baru dua hari berpuasa saya dikejutkan dengan berita kematian kakak ipar saya sekitar jam 1 pagi dan pada jam 2.30 pagi saya bergegas pulang ke Pendang dari Baling. Kematiannya disebabkan kanser paru-paru yang dihidapi hampir setahun. Selang beberapa hari saya dikejutkan lagi dengan berita kematian kedua iaitu anak jiran mentua saya yang meninggal kerana kemalangan di Alor Setar, dengar ceritanya dia pulang dari kuliah waktu petang ke rumah sewaannya. Sebelum sampai ke rumah motosikal yang dinaikinya bertembung dengan trailer sehingga dia terperosok di bawah perut trailer tersebut lalu maut tidak berapa lama kemudian. Tanah perkuburannya sekali dengan perkuburan kakak ipar saya. Dengan peristiwa tadi sesekali mengajak minda berfikir dan merenung sejenak nasib diri ini yang entah bila akan mengikuti jejak mereka, hanya Allah yang tahu. Diri ini merasakan amalan tidak mencukupi. Ya Allah! Engkau tetapkanlah hatiku dan amalanku dalam iman. Engkau jadikanlah aku yang merebut kesempatan Ramadhan yang telah Engkau anugerahkan ini. Aamiiin Ya Rabbal aa’lamin.
Dalam bulan yang mulia ini juga ada satu peristiwa besar yang berlaku dan sentiasa disebut-sebut oleh sekalian orang berilmu dan beriman sepanjang zaman iaitulah peristiwa nuzul Quran atau dalam bahasa melayunya disebut penurunan Al-Quran. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan.
Al-Quran sebuah perlembagaan suci yang direka khas oleh Allah untuk kesejahteraan manusia diturunkan kepada Nabi akhir zaman. Al-Quran sebagai penawar penyakit zahir dan batin. Yang dikatakan penyakit zahir bukan semata mata penyakit yang menimpa tubuh badan bahkan penyakit yang menimpa masyarakat seperi zina dan sebagainya. Dengan zina akan timbul masalah pembuangan bayi dan ianya sedang berlaku sekarang. Itu yang dilaporkan oleh berita, bagaimana pula yang tidak diketahui? Jika ada yang hidup, masa hadapan masyarakat akan lebih parah kerana anak yang membesar tanpa ibu bapa tadi akan meliar tanpa arah yang akhirnya mungkin akan menjadi penjenayah. Anak yang dalam jagaan ibu bapa pun belum tentu akan jadi manusia berguna, inikan pula tanpa adanya ibu bapa.
Suatu ketika dulu pernah ada satu kumpulan pelajar dari sebuah universiti tempatan yang mana mereka dikatakan pelajar yang pintar dan hebat, mereka ditaja oleh seorang kenamaan Malaysia untuk pergi berjumpa pelajar-pelajar timur tengah seperti Mesir bagi melontarkan pandangan mereka berkenaan masalah keruntuhan akhlak dan murtad yang berlaku di Malaysia. Dalam program dialog yang diadakan maka bangunlah seorang pelajar genius tadi mencabar audien agar menunjukan kepadanya apakah cara yang terbaik untuk masalah zina atau murtad. Di situ saya melihat satu kelucuan dimana seorang yang dikatakan pintar rupanya tidak cerdik. Demikian kerana dia tidak nampak gajah di depan mata. Al-Quran jelas menunjukan cara untuk mengatasi masalah tersebut iaitulah dengan merejam penzina yang telah berkahwin sementara yang belum hendaklah disebat. Bagi kesalahan murtad pula hendaklah dihukum bunuh.Itulah penawar yang telah disediakan oleh Sang Pencipta buat manusia yang diciptanya itu untuk mengubati penyakit zahir yang menular dalam mazyarakat sekaligus mengatasi masalah pembuangan bayi!! Hairan mengapa pelajar pintar tadi tidak nampak? Agaknya dia mungkin syok sendiri apabila dilabel pintar. Padahal orang ramai melihat dia sebagai badut.
Untuk penyakit batin pula, Al-Quran juga ada penawarnya. Di sini saya akan jelaskan. Penyakit batin ini termasuklah sakit hati dan penyakit yang berkaitan dengan hati seperti tamak, dengki, umpat, fitnah dan khianat. Jika kita ikut betul-betul saranan Al-Quran, sudah tentu penyakit-penyakit hati tadi tak akan wujud sekaligus tiada siapa pun akan merasa sakit hati. Contohnya sifat tamak yang akan menyebabkan seseorang itu sanggup makan riba, rasuah, menipu dan seumpamanya demi memenuhi sifat tamaknya. Lalu Al-Quran memberikan tip atau langkah untuk mengatasinya iaitulah dengan mengaharamkan riba, rasuah dan tipu. Amalan ini jika dilakukan balasannya sudah tentulah dosa yang akan membawa ke neraka!! Di dunia pula orang lain akan sakit hati yang mungkin akan bertindak membunuh pelakunya. Cuba anda fikirkan apabila anda berhak mendapat sesuatu projek kerana kelayakkan anda, tiba-tiba projek tersebut dapat pula kepada orang lain yang tidak layak hanya kerana dia memberi rasuah, tidakkah anda sakit hati? Jika anda ada pertimbangan dosa pahala anda mungkin tidak akan bertindak di luar batasan seperti membunuh. Bagaimana pula orang lain yang tidak seperti anda? Sudah pasti membunuh itu satu pilihan demi menghilangkan rasa sakit hati tadi. Kita boleh lihat di dada dada akhbar mayat yang dijumpai kerana dibunuh dimerata tempat. Saya yakin 80% bahawa mereka dibunuh kerana sakit hati. Di sini dapat dilihat bahawa penyakit batin itu boleh meletuskan penyakit zahir. Keduanya ada kaitan rapat.
Itulah peranan terbesar Al-Quran dalam memastikan kesejahteraan hidup manusia disamping peranan lainnya untuk menghalau jin, menetapkan hati, berdoa kepada Allah untuk sesuatu perkara dan sebagainya lagi.
Bersempena dengan 17 Ramadhan yang akan kita sambut beberapa hari lagi, janganlah kita seperti rutin yang lepas, dengar dan balik rumah esoknya lupa. Apa yang kita perlu lakukan ialah beramal dengan isi kandungnya dari sebesar besar perkara hinggalah ke sekecil-kecil perkara. Cara nak amalkan ialah belajar ilmu akidah, fekah dan akhlak kemudian amalkan ilmu tersebut. Ketiga-tiga ilmu tadi ialah huraian kepada isi kandung Al-Quran. Wallahua’lam.





