Archive for the ‘Renungan’ category

Di Mana Neraka?

July 19th, 2011

Persoalan ini timbul apabila membaca ayat di dalam surah Aali-Imran ayat 133 yang berbunyi :

Ayat ini menyatakan bahawa hamparan syurga itu seluas langit dan bumi, oleh itu di manakah pula hamparan neraka?

Jawapan : Muka bumi yang manusia diami ini hanya bahagian kecil sahaja dari alam semesta. Alam tidak terbatas pada langit dan bumi sahaja bahkan  merangkumi kerajaan Allah yang berada melepasi langit dunia sana yang tidak mampu dicapai oleh akal dan ilmu manusia. Hingga sekarang manusia masih belum mengetahui tentang selok belok langit.

Sehingga saat ini ahli kaji bintang hanya mampu menyingkap sedikit sahaja dari rahsia langit. Mereka menisbahkan jarak planet atau gugusan bintang dengan ukuran tahun cahaya hingga mencecah jutaan tahun cahaya. Satu jarak yang maha jauh dan mustahil dapat dijejaki oleh manusia biasa. Apabila syurga itu hamparannya langit dan bumi tidaklah bererti di dalam kerajaan Allah sana tiada hamparan neraka! Bukan sahaja hamparan neraka yang terdapat di sana, bahkan terdapat hamparan hamparan lain selain neraka.

Soalan seperti ini pernah diajukan oleh ahli kitab kepada Nabi S.A.W dan para sahabat. Nabi menjawab :

“Di manakah malam apabila datangnya siang?”

Dalam satu riwayat yang lain dari Abi Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi S.A.W tentang kedudukan neraka, lalu Baginda menjawab:

“Tidakkah kamu lihat malam, apabila datang, akan gelaplah segalanya? Jadi di manakah siang?”

Lelaki itu pun menjawab bahawa kejadian siang itu berada dalam kehendak Allah S.W.T.

Nabi menjawab : “Begitulah juga neraka ianya berada dalam kehendak Allah S.W.T”

Oleh itu para pembaca budiman marilah kita merasa takut dengan isi ayat di atas yang menyatakan syurga yang seolah olah sudah ada di dunia ini dan diikuti pula oleh penjelasan Hadis Nabi yang  menyatakan bahawa di sebalik langit sana adanya bandingan hamparan neraka. Hati terasa dekat sangat dengan cerita Nabi S.A.W di atas seolah – olah neraka itu ada di sebalik dinding. Marilah kita bertakwa dan beramal soleh….

Sumber : Al-Qaradawi.net

Share

Sunnah Utama

March 13th, 2011

 

Apabila disebutkan SUNNAH maka berbagai versi yang tergambar di benak seseorang bergantung kepada sejauh mana pemahamannya terhadap erti sunnah itu.

Konflik Sunnah ini berlaku semenjak dulu lagi. Sudah tentu sidang pembaca memahami apa itu Sunnah disamping ada juga yang tidak memahami dengan jelas.

Sunnah ringkasnya ialah  jalan yang ditunjuk oleh Nabi Muhammad S.A.W. Lawannya pula ialah Bidaah yang bererti perkara baru yang terjadi selepas kewafatan Baginda S.A.W. Perbahasan bidaah ini sesuai dihuraikan di dalam tajuk yang lain. Sunnah itu pula boleh dibahagikan  kepada Sunnah wajib dan Sunnah tidak wajib. Hal ini selalu menimbulkan kekeliruan kepada segolongan orang sehingga menganggap semua Sunnah itu wajib dilaksanakan.

Di sini saya hendak bawakan satu contoh atas satu permasalahan agar sidang pembaca dapat memahami apa yang dimaksudkan oleh saya. Saya pilih berkenaan dengan aurat. Semua orang maklum mengenai batas aurat lelaki mahupun perempuan. Dengan menutup aurat seperti digariskan oleh Nabi Muhammad S.A.W, itu dikira sebagai mengikut Sunnah yakni Sunnah wajib. Manakala memakai serban dan jubah itu juga sunnah tetapi tidak wajib.

Saya amat menghormati orang yang berjubah dan berserban kerana bukan senang hendak beristiqomah dalam pakaian sebegitu. Namun saya tidak bersetuju apabila ada juga suara-suara yang memperlekehkan orang-orang yang tidak berjubah dan berserban atau berkopiah lebih-lebih lagi jika melibatkan individu yang berlatar belakangkan pendidikan agama. Pada saya, tidak perlu seseorang itu dipertikaikan selagi ianya tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan Sunnah. Saya pernah menulis artikel berkenaan perkara tersebut. Pembaca boleh melihatnya di sini.

Yang perlu ditekankan ialah sudut amalan bukan sudut panampilan. Jika seseorang itu banyak bersedekah tetapi penampilannya sederhana sahaja, berbaju T dan berseluar, tidak berkopiah atau berserban. Itu lebih utama disisi Allah S.W.T. Adalah amat memalukan jika seseorang itu beserban sebesar bakul tetapi menipu dan mencuri!

Berserban dan berjubahlah tetapi amalan jangan bertentangan dengan syariat! Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu, akan tetapi Dia melihat apa yang kamu lakukan.

Moga sidang pembaca dapat memahami apa yang saya maksudkan. Sekian.

Share

Jangan Jadi Hamba Ramadhan….

September 10th, 2010

بسم الله الرحمن الرحيم

ٍSegala puji bagi Allah yang telah memberi kesempatan kepada kita melaksanakan ibadat puasa juga ibadat-ibadat yang lain pada bulan Ramadhan yang baru berlalu kelmarin. Juga kerana Dia masih mengekalkan kesihatan tubuh badan kepada kita. Tinggal cuma kita memohon agar Allah menerima segala amalan kita tersebut. Solawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W juga ke atas para Sahabat Baginda yang mulia serta isteri-isteri Baginda yang suci dan juga sesiapa sahaja dikalangan umat Baginda yang berada di atas jalan islam hingga hari kiamat.

Ramadhan Yang Berlalu

» Read more: Jangan Jadi Hamba Ramadhan….

Share

17 Ramadhan

August 23rd, 2010

Dengan nama Allah, segala puji bagiNya yang masih membenarkan kita menikmati ramadhan buat ke sekelian kalinya. Ramadhan kali ini banyak peristiwa  yang berlaku di persekitaran saya yang memberi keinsafan termasuklah kematian. Baru dua hari berpuasa saya dikejutkan dengan berita kematian kakak ipar saya sekitar jam 1 pagi dan pada jam 2.30 pagi saya bergegas pulang ke Pendang dari Baling. Kematiannya disebabkan kanser paru-paru yang dihidapi hampir setahun. Selang beberapa hari saya dikejutkan lagi dengan berita kematian kedua iaitu anak jiran mentua saya yang meninggal kerana kemalangan di Alor Setar, dengar ceritanya dia pulang dari kuliah waktu petang ke rumah sewaannya. Sebelum sampai ke rumah motosikal yang dinaikinya bertembung dengan trailer sehingga dia terperosok di bawah perut trailer tersebut lalu maut tidak berapa lama kemudian. Tanah perkuburannya sekali dengan perkuburan kakak ipar saya. Dengan peristiwa tadi sesekali mengajak minda berfikir  dan merenung sejenak nasib diri ini yang entah bila akan mengikuti jejak mereka, hanya Allah yang tahu. Diri ini merasakan amalan tidak mencukupi. Ya Allah! Engkau tetapkanlah hatiku dan amalanku dalam iman. Engkau jadikanlah aku yang merebut kesempatan Ramadhan yang telah Engkau anugerahkan ini. Aamiiin Ya Rabbal aa’lamin.

Kematian satu peringatan

Dalam bulan yang mulia ini juga ada satu peristiwa besar yang berlaku dan sentiasa disebut-sebut oleh sekalian orang berilmu dan beriman sepanjang zaman iaitulah peristiwa nuzul Quran atau dalam bahasa melayunya disebut penurunan Al-Quran. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan.

» Read more: 17 Ramadhan

Share

Allah Yang Meletakan Peraturan Hidup Untuk Kita – Siri 3 (Kemaskini)

March 17th, 2010

Allah S.W.T sahaja yang berhak menentukan hukum halal dan haram…tidak ada seorang pun dari kalangan hambanya yang berhak mencampuri urusan tersebut atau mengeluarkan hukum yang bertentangan dengan hukum yang telah ditetapkan melainkan dengan merujuk kepada kaedah-kaedah yang digariskan oleh Syarak berdasarkan nas yang jelas dari al-Quran dan Hadis.

Bertaubatlah sebelum datangnya kiamat.

Bertaubatlah sebelum datangnya kiamat.

Apa pula halnya dengan orang kafir?…Ada di kalangan mereka yang menjadikan naluri sebagai panduan dalam menentukan halal dan haram. Apa-apa yang memberi faedah kepada diri mereka, akan dihalalkan dan apa-apa yang mengongkong hawa nafsu mereka, akan diharamkan. Dari sudut yang lain mereka juga mempersembahkan kepada patung sembahan mereka dengan haiwan yang kononnya hanya halal untuk tuhan mereka tetapi haram kepada manusia sedangkan haiwan-haiwan tersebut Allah S.W.T halalkan kepada manusia dan menjadikannya untuk dinikmati oleh manusia selaku khalifah Allah di muka bumi ini. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah[449], saaibah[450], washiilah[451] dan haam[452]. akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti. (Al-Maaidah : 103)

[449]  Bahiirah: ialah unta betina yang Telah beranak lima kali dan anak kelima itu jantan, lalu unta betina itu dibelah telinganya, dilepaskan, tidak boleh ditunggangi lagi dan tidak boleh diambil air susunya.

[450]  Saaibah: ialah unta betina yang dibiarkan pergi kemana saja lantaran sesuatu nazar. seperti, jika seorang Arab Jahiliyah akan melakukan sesuatu atau perjalanan yang berat, Maka ia biasa bernazar akan menjadikan untanya saaibah bila maksud atau perjalanannya berhasil dengan selamat.

[451]  Washiilah: seekor domba betina melahirkan anak kembar yang terdiri dari jantan dan betina, Maka yang jantan Ini disebut washiilah, tidak disembelih dan diserahkan kepada berhala.

[452]  Haam: unta jantan yang tidak boleh diganggu gugat lagi, Karena Telah dapat membuntingkan unta betina sepuluh kali.

Perlakuan terhadap bahiirah, saaibah, washiilah dan haam Ini adalah kepercayaan Arab Jahiliyah. Yang sebenarnya  Allah S.W.T menjadikan haiwan-haiwan tersebut untuk dinikmati daging dan susunya oleh manusia. Begitu juga manfaat-manfaat lain yang boleh didapati darinya. Akan tetapi oleh kerana kependekan akal orang-orang kafir mereka memandai mandai pula menentukan halal dan haram bertentangan dengan hukum Allah S.W.T. Semua itu terjadi kerana terlalu mengikut hawa nafsu mereka dan juga kerana dibisikan oleh syaitan.

Firman Allah S.W.T maksudnya :

Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bagian dari tanaman dan ternak yang Telah diciptakan Allah, lalu mereka Berkata sesuai dengan persangkaan mereka: “Ini untuk Allah dan Ini untuk berhala-berhala kami”. Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah; dan saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, Maka sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka[508]. amat buruklah ketetapan mereka itu. (Al-Ana’m : 136)

[508]  menurut yang diriwayatkan bahwa hasil tanaman dan binatang ternak yang mereka peruntukkan bagi Allah, mereka pergunakan untuk memberi makanan orang-orang fakir, orang-orang miskin, dan berbagai amal sosial, dan yang diperuntukkan bagi berhala-berhala diberikan kepada Penjaga berhala itu. apa yang disediakan untuk berhala-berhala tidak dapat diberikan kepada fakir miskin, dan amal sosial sedang sebahagian yang disediakan untuk Allah (fakir miskin dan amal sosial) dapat diberikan kepada berhala-berhala itu. kebiasaan yang seperti Ini amat dikutuk Allah.

Itulah dia gambaran yang Allah S.W.T berikan tentang perlakuan orang kafir dalam menentukan halal dan haram. Semuanya hanya semata-mata mengikut hawa nafsu dengan menjadikan alasan untuk mendapatkan keredhoan tuhan mereka.

Mari kita lihat pula erti firman Allah berikut :

Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu Karena takut kemiskinan, kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar[518]“. demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya).

(Al-An’am : 151)

[518]  maksudnya yang dibenarkan oleh syara’ seperti qishash membunuh orang murtad, rajam dan sebagainya.

Allah S.W.T menjelaskan apa yang diharamkan ke atas hambanya secara terang dan jelas agar tidak ada dari hambanya pada hari kiamat nanti mempertikaikan Allah dengan mengatakan : Wahai Tuhan! Engkau telah mengharamkan beberapa perkara tetapi aku tidak tahu, oleh itu mengapa engkau menghitung amalanku? Allah akan menjawab kepada mereka : Tidak…Setiap apa yang telah diharamkan ke atas kamu semua telah dijelaskan sewaktu turunnya Al-Quran.

Syirik

Antara perkara haram yang dijelaskan Allah dalam Al-Quran ialah menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Hukum pengharamannya berkekalan sampai hari kiamat Firman Allah bermaksud :

janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia
(Al-An’am : 151)

Larangan mensyirikan Allah ini merupakan tujuan utama setiap Rasul itu diutuskan….hanya semata-mata menyembah Allah yang Maha Esa dan satu.. Esa ertinya tidak ada satupun menyerupaiNya dan Satu pula bererti tidak terbentuk dari zarah-zarah yang lain seperti halnya sebuah rumah yang terbentuk dari ribuan batu bata. Allah tidak begitu kerana Ia tidak boleh dibahagi-bahagikan.

Dengan lebih jelas pengharaman mensyirikan Allah ini termasuklah samaada dari segi percaya, perkataan, atau dakwaan bahawa Allah ada bandingan yang lain. Demikian itu merupakan dosa yang tidak terampun bertepatan dengan firmanNya yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan Allah, Maka sungguh ia Telah berbuat dosa yang besar. (An-Nisaa’ : 48)

Syirik ini adalah pengharaman yang terawal. Dengan dosa ini akan menyebabkan kita kekal di dalam neraka kerana kita melakukan kufur kepada Pencipta langit dan bumi dan juga pencipta diri kita sendiri.

Derhaka Ibu Bapa

Perkara kedua yang Allah haramkan ialah menderhakai ibu bapa.

….berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa….(Al-An’am : 151)

Ayat ini membawa maksud bahawa ibu dan bapa perlu dilayan denga baik semasa mereka tua…mengapa semasa tua? Jawapannya kerana semasa mereka masih muda, anak-anak masih kecil dan tidak mampu menjaga dan melayan mereka. Tetapi selepas anak-anak menjadi dewasa dan sudah berdikari sementara ibu bapa pula sudah tua, ketika itulah mereka dapat dijaga dan dilayan dengan baik kerana penjagaan dan layanan yang baik itu memerlukan pengorbanan dari sudut kewangan dan sebagainya. Oleh yang demikian berbuat baik dengan ibu bapa hanya dituntut semasa ibu bapa sudah tua. Mengapa anak-anak dituntut berbuat baik dengan ibu bapa? Kerana ibu dan bapalah yang menyebabkan anak-anak lahir ke dunia…mereka berdualah yang memelihara anak semasa kecil…berjaga malam apabila anak sakit…maka sepatutnyalah jasa ibu bapa dibalas apabila mereka berada di penghujung usia…Rasul S.A.W bersabda di dalam sebuah hadis :

“Syurga di bawah tapak kaki ibu”

Jika kita mahu Allah S.W.T memberikan kita balasan yang baik, kita hendaklah memelihara diri dari melakukan perkara yang boleh menimbulkan kemarahan ibubapa. Ada satu peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah S.A.W, kisah seorang pemuda yang bernama Alqamah. Dia seorang pemuda yang sangat bersungguh sungguh dalam mentaati Allah dengan banyak melakukan solat sunat, puasa sunat dan banyak bersedekah. Suatu hari dia telah jatuh sakit yang teruk lalu isterinya pergi berjumpa dengan Nabi S.A.W dan menceritakan kepada Baginda bahawa suaminya Alqamah sedang nazak.

Nabi pun menghantar beberapa orang sahabat iaitu Ammar, Suhaib dan Bilal untuk mengajarkan kepada Alqamah ucapan syahadah. Apabila sahabat Nabi tadi mengajarkan kalimah syahadah kepada Alqamah, lidahnya kelu tidak dapat menyebut apa yang diajarkan kepadanya. Sahabat-sahabat tadi pun menceritakan keadaan itu kepada Nabi lalu Baginda pun bertanya adakah Alqamah masih ada ibu atau bapa. Kemudian Baginda diberitahu bahawa ibu Alqamah masih hidup dan dia sudah tua lalu Nabi pun mengutus seseorang kepada ibu Alqamah untuk meminta dia datang bertemu Nabi S.A.W sekiranya mampu. Jika tidak mampu, Baginda sendiri akan pergi bertemu dengannya. Setelah pesanan Baginda itu disampaikan kepada ibu Alqamah, dia pun memilih untuk datang bertemu Nabi kerana kedudukan Baginda yang lebih tinggi.

Lalu Ibu Alqamah pun memaut pada tongkatnya lalu berjalan dengan tongkat tersebut untuk bertemu Nabi S.A.W. Apabila sampai dia pun memberi salam kepada nabi dan Baginda pun menjawab salamnya. Nabi pun bersabda kepada ibu Alqamah : “Wahai ibu Alqamah! Bercakap benarlah denganku. Jika kamu berdusta, wahyu Allah  memberitahuku kisah sebenar. Bagaimanakah keadaan Alqamah sebelum ini?” Dia pun menjawab : “Alqamah adalah seorang yang banyak solat, banyak puasa dan banyak bersedekah”. Nabi S.A.W bertanya lagi : “Apa pula halnya dengan diri kamu?” Ibu Alqamah menjawab : “Aku marah kepadanya” Nabi bertanya lagi : “Mengapa kamu memarahi dia?” Dia menjawab : “Alqamah telah melebihkan isterinya berbanding aku dan dia menderhakaiku” Nabi pun bersabda : “Sesungguhnya kemarahan ibu Alqamah telah membuatkan lidahnya kelu dari menyebut kalimah syahadah”.

Kemudian Nabi pun bersabda lagi : “Wahai Bilal! Engkau pergi kumpulkan kayu api yang banyak dan bawakan kepadaku”. Arahan Baginda membuatkan ibu Alqamah bertanya kehairanan : “Apa yang hendak Engkau lakukan wahai Rasulullah?” Baginda menjawab : “Aku akan membakar Alqamah di hadapanmu” Ibu Alqamah pun berkata :”Aku tidak sanggup melihat Engkau membakar anakku di hadapanku” Nabi berkata kepada Ibu Alqamah: “Wahai Ibu Alqamah! Azab Allah lebih dahsyat dan kekal. Untuk menyelamatkan Alqamah, engkau pohonlah keampunan Allah untuknya dan berilah keredhaan kepadanya. Demi jiwaku ditanganNya…Tidak akan bermanfaatlah segala solat, puasa dan sedekahnya selagi kamu masih memarahinya”.

Ibu Alqamah pun berkata : “Dengan disaksikan Allah S.W.T, para malaikatNya dan semua orang islam yang ada di sini, sesungguhnya aku telah meredhai anakku Alqamah“. Nabi pun menyuruh Bilal pergi melihat keadaan Alqamah adakah dia sudah boleh mengucap syahadah atau tidak. Harapan Baginda moga-moga ibu Alqamah meredhai anaknya dengan kata-kata dan juga hati, bukannya pada mulut sahaja. Apabila Bilal sampai di rumah Alqamah dia mendengar Alqamah sudah boleh menyebut kalimah syahadah.

Alqamah meninggal pada hari itu juga dan Nabi dating menziarahi jenazahnya lalu baginda menyuruh dia dimandi dan dikafankan kemudian Nabi melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Baginda juga mengiringi jenazahnya ke perkuburan kemudian Nabi pun berdiri di atas kuburnya dan bersabda :

“Wahai sekalian kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang melebihkan isterinya berbanding ibunya, dia akan mendapat laknat Allah, MalaikatNya dan manusia seluruhnya. Allah tidak akan menerima amal kebajikan yang dilakukannya melainkan dia bertaubat kepada Allah Azza Wajalla. Hendaklah dia berbuat baik kepada ibunya dan mencari keredhaannya. Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu begitu juga dengan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu”

Begitulah kita lihat betapa besarnya kedudukan ibubapa di sisi Allah S.W.T. Sesungguhnya menderhaka dan mengundang kemarahan ibubapa merupakan sebahagian daripada dosa-dosa besar yang sepatutnya dielakan oleh orang islam. Demikian adalah untuk mengenang jasa ibubapa dan juga demi keredhaan Allah S.W.T yang menyuruh berbuat baik kepada mereka.

Sambungan…

Perkara ketiga yang Allah haramkan selepas syirik dan menderhakai ibi bapa ialah membunuh anak. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

…dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu Kerana kemiskinan, kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka…(Al-An’am : 151)

Ayat ini disebut dua kali di dalam Al-Quran. Pertama di dalam surah Al-An’am seperti di atas dan kedua di dalam surah Al-Isra’ ayat ke 31 yang bermaksud :

Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu Kerana takut kemiskinan. kamilah yang akan memberi rezki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar. (Al-Isra’ : 31)

Sebahagian ahli ilmu mengatakan bahawa kedua-dua ayat tadi bersamaan antara satu sama lain. Tetapi yang sebenarnya adalah tidak sama antara satu sama lain. Ayat di dalam surah Al-An’am berbunyi ….kerana kemiskinan… yang membawa makna kemiskinan itu telah ada. Dalam ayat ini seorang bapa itu sudah miskin dan dengan kedatangan anak baru dia takut kemiskinannya akan bertambah lalu Allah menenangkan hatinya dengan memberi jaminan bahawa rezekinya tidak akan berkurangan sedikit pun dan rezeki anaknya sudah tersedia.

Sementara ayat di dalam surah Al-Isra’ pula berbunyi …kerana takut kemiskinan…. Yang memberi makna kemiskinan itu belum ada lagi. Seorang bapa takut dengan kedatangan anaknya akan menyebabkan kehidupannya yang senang berubah kepada miskin. Akan tetapi ketakutan itu dijawab oleh Allah bahawa janganlah dia takut kerana rezekinya dan anaknya telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan terjamin.

Pengharaman membunuh anak samalah pengharamannya dengan membunuh jiwa yang tidak berdosa. Allah yang menjadikan sang anak dan Allah lah yang menghendaki anak itu hidup di dunia ini. Oleh yang demikian rezekinya sudah terjamin seperti difirmankan Allah di dalam surah Huud ayat 6 yang bermaksud :

Dan tidak ada suatu binatang melata di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezkinya

Mengapa hendak mengkufuri pemberian Allah dengan membunuh anak…Allah sudah menjamin rezeki seorang bapa dan anaknya itu?!

Seterusnya perkara yang Allah haramkan ialah perkara-perkara keji.Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun  yang tersembunyi… (Al-An’am : 151)

Keji bermaksud melampau contohnya zina adalah satu perbuatan melampau begitu juga dengan meminum arak sehinggalah kepada perkara-perkara lain yang termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Dalam ayat ini Allah haramkan perkara yang nampak terlebih dahulu, mengapa? Jawabnya kerana Allah tidak mahu dosa-dosa itu berlaku secara terang terangan sehingga ianya bermaharajalela dan menjadi ikutan di dalam masyarakat….sehingga hilangnya rasa malu. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

Setiap umatku diampunkan dosanya kecuali orang yang melakukan dosa secara terang terangan…

Share

Allah Yang Meletakan Peraturan Hidup Untuk Kita -Sambungan

February 17th, 2010

Seperti yang telah disebutkan bahawa Allah S.W.T telah meletakan falsafah pengharaman sesuatu perkara melalui peristiwa yang dilalui oleh Adam dan Hawa…Allah telah melarang mereka dengan firmanNya “ Janganlah kamu berdua menghampiri pokok ini” ….larangan itu demi kebaikan mereka agar dapat  menikmati kehidupan yang aman…

Carilah KeredhoanNya

Carilah KeredhoanNya

Syaitan telah menipu keduanya agar memakan buah dari pokok larangan itu dan menjanjikan kepada mereka perkara-perkara yang mustahil…seperti akan menjadikan mereka kekal hidup selama-lamanya, hal ini mustahil akan berlaku semasa di dunia…begitu juga berjanji akan memberikan mereka kerajaan yang tidak akan runtuh, ini juga sesuatu yang mustahil kerana kita hidup di dunia yang zamannya berubah-ubah….Tetapi Adam dan Hawa tetap mempercayai iblis lalu memakan buah dari pokok larangan itu…lalu apa yang terjadi setelah itu?…Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud :

Maka syaitan memujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. tatkala keduanya Telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku Telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?” (Al-A’raaf : 22)

Jika Adam dan Hawa tidak memakan buah dari pokok tersebut, sudah pasti mereka akan terus hidup di dalam syurga dan aurat mereka tidak terdedah.

Dari sini dapat difahami bahawa perkara yang mula-mula diharamkan ialah mendedahkan aurat tidak kira samaada aurat dalaman(akhlak) mahupun luaran(tubuh). Perkara yang halal itulah pakaian takwa yang menutupi aurat-aurat yang lain sementara perkara yang haram pula akan mendedahkan segala aurat sehingga dapat dilihat oleh orang ramai…Seseorang yang mendapatkan harta secara haram seperti rasuah, mencuri, menipu dan seumpamanya, bila ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah, wajahnya akan tersiar di dada dada akhbar…orang ramai akan kata dia pencuri…maka dengan itu tersingkaplah aurat atau maruahnya. Demikian itu kerana dia tidak mengikuti jalan iman dan tidak mahu hidup dengan cara baik. Jika diikuti cara hidup yang betul seperti digariskan oleh islam, sudah tentu aurat dia tidak akan terbuka sampai bila-bila.

Seorang lelaki yang berzina dengan isteri orang, bila diketahui oleh orang ramai, maka akan terdedahlah perangai buruk lelaki dan perempuan tersebut dan kisah mereka akan dibualkan di warung-warung kopi dan di serata ceruk jalan….dengan itu telah tersingkaplah aurat mereka. Jika mereka memilih jalan yang halal dan betul, sudah pasti tidak akan ada sesiapa pun yang mencela mereka.

Sesungguhnya dalam pengharaman sesuatu perkara, Allah mahu menutup aurat atau maruah kita dari pandangan orang lain dan menjadikan kita hidup dalam keadaan sejahtera…Pengharaman itu demi kebaikan kita sebagai hambaNya, demikian kerana apabila Allah S.W.T menyuruh kita : “Jangan kamu mencuri” , itu bererti kita tidak boleh mencuri barang orang lain yang bukan milik kita!….Pada masa yang sama Allah juga melarang manusia seluruhnya agar tidak mencuri barang atau harta kita yang bukan milik mereka…manakah yang lebih  baik antara kita tidak mencuri harta milik orang ramai, atau orang ramai tidak mencuri harta kita? Begitu juga Allah mengharamkan kepada kita melihat isteri dan anak orang lain tanpa urusan, dan pada masa yang sama Allah juga melarang orang lain dari melihat isteri dan anak kita tanpa urusan….antara keduanya manakah yang lebih memelihara kehormatan kita dan keluarga kita? kita tidak melihat isteri orang lain atau orang lain tidak melihat isteri kita? Jawapan yang mutlak ialah : Orang lain tidak boleh melihat isteri dan anak kita tanpa sebarang sebab.

Inilah  dalil atau bukti yang paling kukuh dalam mengatakan  bahawa  apa yang Allah haramkan adalah demi kebaikan diri kita sendiri…

Allah S.W.T ialah satu-satunya tuhan yang berhak mengatakan yang ini halal dan yang ini haram. Demikian kerana dialah yang menciptakan peraturan hidup. Dialah Tuhan yang Maha Suci dari hawa nafsu yang bertindak sesuka hati. Dialah Tuhan yang tidak berat sebelah. Allah tidak menciptakan undang-undang untuk kebaikan satu kaum sahaja tanpa kaum yang lain. Oleh itu hukum halal dan haram turut terkena ke atas batang tubuh orang-orang kafir juga. Akan tetapi orang-orang kafir ini menjadikan halal dan haram mengikut hawa nafsu mereka. Dengan sebab itu Allah menyifatkan mereka sebagai orang-orang yang melampaui batas. Pada mereka Allah janjikan dengan azab yang pedih. Allah S.W.T berfirman :

Katakanlah: “Terangkanlah kepadaku tentang rezki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya Haram dan (sebahagiannya) halal”. Katakanlah: “Apakah Allah Telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah ?” (Yunus : 59)

Bersambung……

Share

Allah Yang Meletakan Peraturan Hidup Untuk Kita

February 9th, 2010

Ikutilah Jalan Yang Lurus

Ikutilah Jalan Yang Lurus

Anugerah Allah kepada kita sebagai hambanya ialah menetapkan kepada kita peraturan yang dapat memelihara kehidupan kita dan menjadikannya selamat….Kita boleh lihat keadilan hukum Allah pada keperluan manusia yang berperingkat peringkat. Contohnya udara, manusia tidak dapat menahan diri dari bernafas melebihi beberapa minit, dengan sebab itu Allah tidak menjadikannya milik sesiapa di kalangan manusia…dengan air pula, manusia dapat menahan diri dari meminumnya selama beberapa hari,lalu Allah jadikannya dimiliki oleh manusia untuk tempoh beberapa hari sahaja dan selepas itu ia akan jadi milik orang yang memerlukan itu….adapun makanan pula, manusia dapat menahan diri darinya selama beberapa minggu, lalu dengan itu Allah menjadikannya boleh dimiliki oleh manusia tertentu.

Ketika Allah meletakan peraturan halal dan haram, Dia akan melihat pada kemampuan manusia itu sendiri  samaada dapat bertahan atas sesuatu perkara atau tidak…Allah tidak menjadikan udara itu dalam lingkungan halal dan haram kerana manusia tidak dapat bertahan dari memilikinya segera. Sebaliknya minuman dan makanan berada dalam lingkungan halal dan haram itu kerana kedua-duanya mempunyai masa untuk dimiliki dari orang lain kepada diri sendiri iaitu melalui pemberian atau jual beli.

Dari makanan dan minuman itu tadi Allah jelaskan lagi kepada kita bahawa yang halal akan memberi kesan baik pada tubuh dan kehidupan kita sementara yang haram akan membinasakan tubuh dan akal kita serentak…Lihatlah pada perumpamaan berikut : Pencipta kapal terbang menetapkan minyak yang khusus dan sesuai  untuk diisi pada kapal terbang, tiba-tiba pemandunya menggunakan minyak kereta, maka sudah tentu ia tidak dapat berfungsi dan jika terbang juga, mesti akan terhempas…Begitulah juga dengan makanan yang haram, apabila diisi ke dalam perut manusia ianya akan rosak dan jatuh sakit. Tubuhnya tidak mampu berfungsi dengan baik yang mana fungsinya ialah melaksanakan ibadah…!

Bersambung……

Share

Apa Itu Halal… Dan Apa Itu Haram…

January 25th, 2010

Permasalahan halal dan haram sudah sekian lama mendampingi manusia iaitu semenjak manusia belum diturunkan  ke muka bumi lagi. Permasalahan ini menjadi asas kepada seluruh isi alam dan di atasnya berdiri neraca kehidupan.

Solatlah wahai Insan....

Solatlah wahai Insan....

Allah S.W.T menjadikan manusia supaya melaksanakan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi. Allah Maha Tahu apa apa yang dapat memelihara makhluk ciptaanNya dan juga Maha tahu juga apa-apa yang boleh merosakannya.. Oleh demikian itu Dia mengaturkan kepada makhluk ciptaanNya ini peraturan agar sentiasa berada dalam keadaan aman supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab memastikan kelangsungan hidup melalui pemakanan. Begitu juga agar mereka dapat meneruskan kesinambungan zuriat melalui perkahwinan.

Hikmah Allah menghendaki dengan penciptaan manusia itu agar mereka menempuh kehidupan di muka bumi bersama peraturan penciptaannya yang terkandung di dalam manhaj Allah iaitu pada hukum “boleh” dan “tidak boleh” atau dengan kata lain : Halal dan Haram…Adam dan Hawa diturunkan pun setelah mereka mendapat pengalaman dilatih oleh Allah mengenai Halal dan Haram di dalam syurga sebelum menempuh kehidupan di dunia dan memakmurkannya.

Sebelum mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman yang telah ditempuhi oleh Adam dan Hawa, adalah molek ditegaskan semula di sini bahawa Allah S.W.T telah menghalalkan banyak perkara berbanding yang haram. Perkara – perkara yang halal itu tidak terkira banyaknya sehingga tidak dapat dihitung sedangkan perkara-perkara yang haram jumlahnya boleh dihitung. Manusia tidak dapat membilang sesuatu yang terlampau banyak. Yang mampu dibilang olehnya, hanya yang sedikit. Sebagai contoh : bilangan biji pasir di pantai atau bilangan ombak di lautan, tidak ada seorang pun yang dapat membilangnya walaupun pada zaman yang serba canggih dan memiliki teknologi moden ini. Membilang sesuatu yang jumlahnya terlalu banyak ini, tidaklah mampu dilakukan oleh manusia kerana ia berada di luar kemampuannya. Begitulah juga dengan nikmat – nikmat Allah, ianya berada di luar kemampuan manusia untuk dibilang. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran yang bermaksud:

… dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). (Surah Ibrahim : 34)

Nikmat-nikmat Allah memenuhi seluruh pelusuk alam ini yang tidak terkira banyaknya dan amat sedikit sahaja dari nikmat-nikamat itu diharamkan. Perkara tersebut dijelaskan oleh Allah di dalam ayat151-153 surah Al-Anam berikut ;

151.  Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu Karena takut kemiskinan, kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar[518]“. demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya).

152.  Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. kami tidak memikulkan beban kepada sesorang melainkan sekedar kesanggupannya. dan apabila kamu berkata, Maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun ia adalah kerabat(mu)[519], dan penuhilah janji Allah[520]. yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.

153.  Dan bahwa (yang kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, Maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain)[152], Karena jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalannya. yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.

[518]  maksudnya yang dibenarkan oleh syara’ seperti qishash membunuh orang murtad, rajam dan sebagainya.

[519]  maksudnya mengatakan yang Sebenarnya meskipun merugikan kerabat sendiri.

[520]  maksudnya penuhilah segala perintah-perintah-Nya.

[152]  Shalat wusthaa ialah shalat yang di tengah-tengah dan yang paling utama. ada yang berpendapat, bahwa yang dimaksud dengan Shalat wusthaa ialah shalat Ashar. menurut kebanyakan ahli hadits, ayat Ini menekankan agar semua shalat itu dikerjakan dengan sebaik-baiknya.

Di dalam ayat ini, diceritakan beberapa perkara yang diharamkan. Ianya mengandungi sepuluh wasiat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s…Tetapi anda tidak akan jumpa walaupun satu ayat yang menyebut : Marilah kubacakan apa yang dihalalkan atas kamu oleh Tuhanmu…

Inilah dia asas latihan yang Allah S.W.T berikan kepada Adam dan Hawa sebelum keduanya turun ke muka bumi. Allah menjadikan mereka berdua bersedia untuk menjalani kehidupan di muka bumi dimana Allah letakan mereka di satu tempat untuk berteduh. Di tempat itu terdapat berbagai-bagai jenis buah-buahan yang Allah namakan sebagai syurga….Syurga di dalam Al-Quran merujuk kepada syurga dunia  dan syurga akhirat. Mana-mana tempat yang memberikan kepada pemiliknya keperluan asas untuk hidup seperti air dan makanan tanpa perlu keluar dari tempat itu, itulah dinamakan syurga(kebun). Berkenaan syurga atau kebun, di dalam Al-Quran ada diceritakan beberapa kisah mengenainya antaranya :

1)Kisah pemilik dua kebun yang derhaka dan kufur kepada Tuhan :

“Dan berikanlah kepada mereka[880] sebuah perumpamaan dua orang laki-laki[881], kami jadikan bagi seorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon korma dan di antara kedua kebun itu kami buatkan lading”.(Surah Al-Kahfi : 32)

[880]  yaitu: kepada orang-orang mukmin dan orang-orang kafir.

[881]  yaitu: dua orang Yahudi yang seorang mukmin dan yang lain kafir.

2) Kisah pemilik-pemilik kebun yang tidak memberi makan kepada anak-anak yatim dan orang-orang miskin buah-buahan dari kebun mereka, lalu Allah membinasakan mereka :

“Sesungguhnya kami Telah mencobai mereka (musyrikin Mekah) sebagaimana kami Telah mencobai pemilik-pemilik kebun, ketika mereka bersumpah bahwa mereka sungguh-sungguh akanmemetik (hasil)nya di pagi hari”,(Al-Qolam : 17)

Sebelum Adam dan Hawa diturunkan ke muka bumi, Allah S.W.T terlebih dahulu memasukan mereka ke dalam syurga. Di dalamnya terdapat banyak makanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka, semuanya tersedia, setiap apa yang dikehendaki terdapat di dalamnya. Bila Allah menghendaki adam dan Hawa melalui pengalaman halal dan haram, Allah tidak menyatakan kepada mereka perkara-perkara yang halal kerana ianya terlalu banyak. Firman Allah Taala yang bermaksud :

“Dan kami berfirman: “Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu surga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini[37], yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim” (Al-Baqarah:35).

[37]  pohon yang dilarang Allah mendekatinya tidak dapat dipastikan, sebab Al Quran dan Hadist tidak menerangkannya. ada yang menamakan pohon khuldi sebagaimana tersebut dalam surat Thaha ayat 120, tapi itu adalah nama yang diberikan syaitan.

Di dalam ayat tersebut Allah menyatakan kepada Adam dan Hawa bahawa semua perkara adalah halal kecuali sebatang pokok. Hanya satu-satunya yang Allah haramkan kepada mereka ialah mendekati sepohon pokok, selain pokok tersebut adalah halal belaka.

…. Tetapi mengapa Allah S.W.T telah mengharamkan pokok tersebut ?…Allah mengharamkannya untuk memberitahu tentang falsafah halal dan haram di seluruh pelusuk alam. Allah sebagai pencipta manusia, Maha Tahu tentang peraturan yang boleh menjaga manusia ciptaanNya itu dari rosak binasa….lalu Allah menyuruh manusia melakukan sesuatu mengikut caranya yang betul…dan apabila sesuatu perkara itu sudah rosak, Allah menyuruh pula melakukan sesuatu yang lain untuk membaikinya….hal ini samalah seperti manual penggunaan kenderaan yang meminta pembeli mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pembuatnya agar kenderaan tersebut tidak rosak. Jika rosak pula ada cara untuk membaikinya agar kenderaan itu boleh digunakan semula.

Kita adalah ciptaan Allah S.W.T…dan peraturan atau manual yang boleh memelihara kita adalah dengan menyuruh kita berdiri di hadapan Allah lima kali sehari semalam iaitu solat. Kita tidak boleh mempersoalkan apakah faedahnya mendirikan solat kepada pemeliharaan manusia dari rosak…Sebenarnya asas pemeliharaan manusia terletak pada jiwa dan akal…kita tidak tahu apa yang berlaku kepada jiwa kita semasa berdiri di hadapan Allah dalam solat…kita juga tidak tahu tentang daki – daki dunia yang keluar dari jiwa kita pada masa itu…juga tidak tahu bahawa sifat-sifat baik telah meresap masuk ke dalamnya…Kita berada di hadapan Allah S.W.T Maha Pencipta yang memelihara ciptaanNya ini….apabila kita berdiri di hadapanNya di dalam solat lima kali sehari semalam, adakah akan berlaku kebinasaan ke atas diri kita? Fikirkanlah wahai manusia…

Share

7 Sikap Yang Melemahkan Jiwa Anak

October 27th, 2009

Seperti sedia maklum bahawa anak merupakan anugerah Allah Taala kepada hambanya. Lalu jadilah ibu bapa itu bertanggungjawab mencorakkan  anaknya samaada menjadi manusia yang berguna atau tidak. Anak ibarat kain putih. Terpulang kepada kita untuk mencantingnya mengikut selera kita. Sebagai seorang islam kita ada cara tersendiri untuk membentuk anak. Antaranya ialah melalui tindakkan kita secara langsung terhadap mereka.

Artikel kali ini saya akan berkongsi 7 sikap kita yang boleh melemahkan jiwa anak : » Read more: 7 Sikap Yang Melemahkan Jiwa Anak

Share

Teruskan Amalan Soleh Selepas Ramadhan

September 28th, 2009
MUQADDIMAH
Bulan puasa sudah beberapa hari berlalu. Walaupun sebulan, kita merasakan waktu bersamanya cuma seketika. Dalam masa yang sama kita mengaharapkan dapat bertemu lagi Ramadhan, “Ya Allah sampaikanlah kami kepada Ramadhan yang akan datang”. Itulah erti doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W.
BERTAUBAT
Di dalam bulan yang mulia itu kita seolah-olah berada di dalam sebuah madrasah terbuka yang mengajar kita pelbagai perkara antaranya ialah bertaubat. Firman Allah S.W.T yang berbunyi :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءامَنُوا تُوبُوا إِلَى اللهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ يَوْمَ لا يُخْزِي اللهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ ءامَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ } سورة التحريم ءاية 8
Ertinya :
Hai orang-orang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.
Taubat yang dituntut adalah taubat nasuha. Taubat yang sempurna inilah disukai oleh Allah S.W.T. Marilah kita bertaubat dari segala dosa dengan penuh sesalan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.
AMALAN SOLEH
Begitu juga kita digalakan beramal soleh. Alangkah indahnya satu peristiwa yang berlaku ke atas seorang hamba yang bernama  Sabit Al-Banani. Setelah kematiannya » Read more: Teruskan Amalan Soleh Selepas Ramadhan
Related Posts with Thumbnails
Share