Archive for the ‘Fiqh’ category

Haram Guna Bekas Emas Dan Perak

October 11th, 2011

Persoalan ini disentuh oleh ulama ulama fekah dalam bab awal kitab fekah  iaitu Toharah. Apabila kita hendak berwudhuk, islam juga menekankan apakah jenis bekas yang akan digunakan untuk mengambil wudhuk.

Jika bekas yang digunakan itu diperbuat dari emas atau perak maka ianya diharamkan kerana bekas emas dan perak ialah untuk orang kafir sahaja di dunia ini dan kita hanya berhak menggunakannya di akhirat kelak yakni di dalam syurga. Pengharaman menggunakan bekas yang diperbuat dari emas dan perak ini meluas kepada lain lain kegunaan seperti bekas makanan dan minuman. emas hanya dibenarkan penggunaannya ke atas orang perempuan sahaja sebagai perhiasan.

Dari sini timbul beberapa isu berkaitan antaranya ialah :

» Read more: Haram Guna Bekas Emas Dan Perak

Share

Sunnah Utama

March 13th, 2011

 

Apabila disebutkan SUNNAH maka berbagai versi yang tergambar di benak seseorang bergantung kepada sejauh mana pemahamannya terhadap erti sunnah itu.

Konflik Sunnah ini berlaku semenjak dulu lagi. Sudah tentu sidang pembaca memahami apa itu Sunnah disamping ada juga yang tidak memahami dengan jelas.

Sunnah ringkasnya ialah  jalan yang ditunjuk oleh Nabi Muhammad S.A.W. Lawannya pula ialah Bidaah yang bererti perkara baru yang terjadi selepas kewafatan Baginda S.A.W. Perbahasan bidaah ini sesuai dihuraikan di dalam tajuk yang lain. Sunnah itu pula boleh dibahagikan  kepada Sunnah wajib dan Sunnah tidak wajib. Hal ini selalu menimbulkan kekeliruan kepada segolongan orang sehingga menganggap semua Sunnah itu wajib dilaksanakan.

Di sini saya hendak bawakan satu contoh atas satu permasalahan agar sidang pembaca dapat memahami apa yang dimaksudkan oleh saya. Saya pilih berkenaan dengan aurat. Semua orang maklum mengenai batas aurat lelaki mahupun perempuan. Dengan menutup aurat seperti digariskan oleh Nabi Muhammad S.A.W, itu dikira sebagai mengikut Sunnah yakni Sunnah wajib. Manakala memakai serban dan jubah itu juga sunnah tetapi tidak wajib.

Saya amat menghormati orang yang berjubah dan berserban kerana bukan senang hendak beristiqomah dalam pakaian sebegitu. Namun saya tidak bersetuju apabila ada juga suara-suara yang memperlekehkan orang-orang yang tidak berjubah dan berserban atau berkopiah lebih-lebih lagi jika melibatkan individu yang berlatar belakangkan pendidikan agama. Pada saya, tidak perlu seseorang itu dipertikaikan selagi ianya tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan Sunnah. Saya pernah menulis artikel berkenaan perkara tersebut. Pembaca boleh melihatnya di sini.

Yang perlu ditekankan ialah sudut amalan bukan sudut panampilan. Jika seseorang itu banyak bersedekah tetapi penampilannya sederhana sahaja, berbaju T dan berseluar, tidak berkopiah atau berserban. Itu lebih utama disisi Allah S.W.T. Adalah amat memalukan jika seseorang itu beserban sebesar bakul tetapi menipu dan mencuri!

Berserban dan berjubahlah tetapi amalan jangan bertentangan dengan syariat! Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu, akan tetapi Dia melihat apa yang kamu lakukan.

Moga sidang pembaca dapat memahami apa yang saya maksudkan. Sekian.

Share

Anak Satu Amanah

January 12th, 2011

Anakmu itu amanah Allah

Di sini saya ingin berkongsi tentang anak. Dalam minggu ni saya sempat membelek buku “Tarbiatul Awlad” karangan Abdullah Naasih Ulwan. Buku tersebut saya beli semasa menuntut di Mesir dahulu.

Bersesuaian dengan anak saya yang bakal di lahirkan sekitar hujung bulan ini, begitu juga mungkin dengan saudara saudari yang bakal menimang cahaya mata, sukalah saya berkongsi di sini beberapa perkara yang dituntut untuk dilakukan setelah anak dilahirkan.

1. Menyebarkan berita kelahiran kepada saudara mara, rakan taulan, jiran tetangga. Mereka pula dituntut mengucapkan tahniah atas kelahiran anak tersebut kepada bapanya

2. Sebaik sahaja anak di lahirkan, hendaklah   diazankan anak tersebut di telinganya sebelah kanan dan diiqamatkan di sebelah telinga kiri. Demikian untuk menjauhkan anak tersebut dari gangguan syaitan dan juga untuk mencampakkan kecintaan kepada islam sebaik sahaja menjengah dunia ini.

3. Dituntut agar mentahnikkan anak tersebut dengan menyapu kunyahan kurma atau seumpamanya yang manis pada lelangit bayi keseluruhannya. Demikian agar mulut anak ada kekuatan menghisap susu ibunya. Seeloknya tahnik dilakukan oleh orang yang soleh.

4. Diberikan nama yang baik-baik. Boleh diberikan samaada hari pertama dilahirkan hinggalah hari ketujuh. Nama merupakan satu doa untuk anak oleh itu jika hendak memberi nama carilah perkataan yang sesuai dan tepat dalam sebutan bahasa arabnya. Jika hendak memilih bahasa yang lain pun boleh asalkan mempunyai makna yang baik.

5. Disunatkan mencukur rambut bayi pada hari ketujuh lalu ditimbangkan beratnya dan bersedekah kepada fakir miskin dengan nilai perak yang sama berat dengan rambut tersebut. Tidak boleh mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain seperti mencukur di sekeliling kepala dan meninggalkan ditengahnya atau mencukur ditengah kepala dan membiarkan dibahagian tepinya atau mencukur di bahgian hadapan dan membiarkan rambut dibahagian belakang atau mencukur dibahagian belakang dan membiarkan di bahagian hadapan.

6. Melaksanakan aqiqah pada hari ketujuh. Untuk bayi perempuan dengan menyembelih seekor kambing sementera bagi bayi lelaki disembelih dua ekor kambing. Boleh juga dengan menyembelih lembu atau seumpamanya tetapi seekor lembu hanya untuk seorang bayi tidak boleh berkongsi tujuh orang sebagai contoh. Untuk mengelakkan masalah biarlah dengan menyembelih kambing seperti biasa diamalkan dalam masyarakat kita. Semasa menyembelih bolehlah membaca بسم الله اللهم لك وإليك هذه عقيقة فلان . Tulang haiwan itu pula janganlah dipatahkan demi memelihara tulang bayi dari patah di kemudian hari. Sebaiknya daging sembelihan digulaikan dan dibuat kenduri. Demikian bagi mengeratkan silaturrahim sesama islam. Boleh juga untuk mensedekahkannya atau sebagai hadiah.

Itulah serba sedikit tentang langkah pertama seorang bapa selepas kelahiran bayinya. Ada lagi tugas dan tanggungjawab lain yang perlu dilakukan. Insyaallah saya akan kongsi  dalam artikel lain. Buat bakal bapa atau yang sudah menjadi bapa tetapi akan dikurniakan anak lagi, saya berharap panduan ringkas ini dapat membantu sedikit sebanyak.

Share

Cinta

September 23rd, 2010

Cinta bererti sayang, dengan kata lain; kecenderungan hati kepada yang disukai (kekasih), ia merupakan tindak balas hati bukannya reaksi tubuh luaran, perkahwinan tidak akan berfaedah dan sia sia jika tiada cinta antara suami dan isteri, kunci kasih ialah melihat, oleh yang demikian Baginda Nabi Muhammad S.A.W menggalakan peminang agar melihat dahulu orang yang hendak dipinang, dengan tujuan untuk menghasilkan cinta, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Nasai :

Dari Mughirah bin Syukbah telah berkata: Aku telah meminang seorang perempuan lalu Nabi S.A.W pun bertanya kepadaku : Adakah kamu telah melihat perempuan itu? Aku berkata : Tidak, Nabi pun bersabda lagi : Lihatlah kepadanya kerana ia lebih menjamin kebahagian kamu berdua. » Read more: Cinta

Share

Jangan Jadi Hamba Ramadhan….

September 10th, 2010

بسم الله الرحمن الرحيم

ٍSegala puji bagi Allah yang telah memberi kesempatan kepada kita melaksanakan ibadat puasa juga ibadat-ibadat yang lain pada bulan Ramadhan yang baru berlalu kelmarin. Juga kerana Dia masih mengekalkan kesihatan tubuh badan kepada kita. Tinggal cuma kita memohon agar Allah menerima segala amalan kita tersebut. Solawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W juga ke atas para Sahabat Baginda yang mulia serta isteri-isteri Baginda yang suci dan juga sesiapa sahaja dikalangan umat Baginda yang berada di atas jalan islam hingga hari kiamat.

Ramadhan Yang Berlalu

» Read more: Jangan Jadi Hamba Ramadhan….

Share

17 Ramadhan

August 23rd, 2010

Dengan nama Allah, segala puji bagiNya yang masih membenarkan kita menikmati ramadhan buat ke sekelian kalinya. Ramadhan kali ini banyak peristiwa  yang berlaku di persekitaran saya yang memberi keinsafan termasuklah kematian. Baru dua hari berpuasa saya dikejutkan dengan berita kematian kakak ipar saya sekitar jam 1 pagi dan pada jam 2.30 pagi saya bergegas pulang ke Pendang dari Baling. Kematiannya disebabkan kanser paru-paru yang dihidapi hampir setahun. Selang beberapa hari saya dikejutkan lagi dengan berita kematian kedua iaitu anak jiran mentua saya yang meninggal kerana kemalangan di Alor Setar, dengar ceritanya dia pulang dari kuliah waktu petang ke rumah sewaannya. Sebelum sampai ke rumah motosikal yang dinaikinya bertembung dengan trailer sehingga dia terperosok di bawah perut trailer tersebut lalu maut tidak berapa lama kemudian. Tanah perkuburannya sekali dengan perkuburan kakak ipar saya. Dengan peristiwa tadi sesekali mengajak minda berfikir  dan merenung sejenak nasib diri ini yang entah bila akan mengikuti jejak mereka, hanya Allah yang tahu. Diri ini merasakan amalan tidak mencukupi. Ya Allah! Engkau tetapkanlah hatiku dan amalanku dalam iman. Engkau jadikanlah aku yang merebut kesempatan Ramadhan yang telah Engkau anugerahkan ini. Aamiiin Ya Rabbal aa’lamin.

Kematian satu peringatan

Dalam bulan yang mulia ini juga ada satu peristiwa besar yang berlaku dan sentiasa disebut-sebut oleh sekalian orang berilmu dan beriman sepanjang zaman iaitulah peristiwa nuzul Quran atau dalam bahasa melayunya disebut penurunan Al-Quran. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan.

» Read more: 17 Ramadhan

Share

Keliru….

August 3rd, 2010

Assalamualaikum…..

Salam sejahtera.

Anda biasa dengar dengan perkataan ini, saya pun sama. Dalam ruangn kali ini saya ingin berkongsi berkenaan kekeliruan yang berlaku di sekeliling kita.

Dalam beberapa bulan lepas, saya ada membaca sebuah artikel di dada akhbar tempatan yang menyatakan bahawa beberapa orang artis yang memeilih mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Antara bekas artis yang dimaksudkan ialah pelakon Ali Setan pada suatu ketika dahulu. Sekarang dia telah berubah darisudut penampilan secara drastik terutamanya pakaian.

» Read more: Keliru….

Share

9 Perlakuan Yang Dibolehkan Dalam Solat

May 29th, 2010

Perlakuan perlu difahami

Perlakuan solat perlu difahami

Sesungguhnya solat kita ada bermacam macam perlakuan ketika melaksanakannya sehingga ada orang menanggap perlakuan yang dilakukan itu membatalkan solat tersebut, padahal dia tidak tahu bahawa anggapan itu belum pasti samaada benar-benar batal atau tidak. Di sini saya akan kongsikan beberapa perlakuan yang jika dilakukan tidak akan membatalkan solat seseorang itu. Semoga dengan maklumat ini akan menjadikan kita lebih berhati hati sebelum menjatuhkan hukum yang belum pasti.

1)     Menangis atau merintih : Samaada kerana sakit atau takut kepada Allah S.W.T.

2)    Berpaling muka sahaja ketika perlu : Jika tidak perlu, hukumnya makruh. Ianya tidak membatalkan solat. Akan tetapi jika memalingkan muka beserta dada dari arah kiblat, maka solat tersebut akan terbatal. Demikian kerana menhadapkan dada kearah kiblat merupakan syarat sah solat.

3)      Membunuh binatang berbahaya seperti ular dan kalajengking: Nabi ada bersabda di dalam HadisNya dari Abi Hurairah r.a yang berbunyi :

- اقتلوا الأسودين في الصلاة؛ الحية والعقرب

4)      Bergerak sedikit ke kanan atau ke kiri atau kehadapan: seperti untuk memenuhkan ruang yang kosong dalam solat berjemaah dan sebagainya. Adapun jika bergerak ke belakang, adalah tidak dibolehkan langsung.

5)      Mendukung kanak-kanak : Nabi S.A.W pernah mendukung cucu perempuannya iaitu anak kepada Zainab ketika solat. Apabila Baginda rukuk atau sujud, akan diletakkan semula cucunya itu. Begitu juga Nabi pernah melakukannya terhada cucuNya Hassan dan Hussin.

6)      Menjawab salam dengan isyrat ringan : seperti dengan menggunakan jari, tangan atau keduanya. Begitu juga boleh dengan tunduk sedikit kepala sebagai isyarat menjawab salam. Cara ini telah diajar oleh Nabi S.A.W.

7)      Mengucap tasbih oleh lelaki dan menepuk tangan oleh perempuan : Demikian ialah untuk memberi teguran kepada imam yang melakukan kesalahan dalam bacaan atau perbuatan.

8)     Membaca surah selepas bacaan Fatihah dengan melihat Al-Quran : Boleh melakukan demikian samaada meletakkan Al-Quran di hadapan atau memegang Al-Quran kecil di tangan dengan pergerakan kecil sahaja.

9)      Hati teringat kepada perkara-perkara lain di luar solat : Apabila hati sibuk memikirkan perkara lain, solatnya tetap sah dan ada pahalanya. Jika solat dengan khusyuk pahalanya akan lebih lagi. Apapun seseorang yang solat itu adalah lebih baik menghalakan segalanya ke arah Allah S.W.T termasuk hatinya bukannya anggotanya sahaja. Cara khusyuk itu boleh dilakukan dengan memahami dan memikirkan ayat ayat yang dibaca.

Demikianlah 9 perkara yang mungkin mengelirukan sesiapa sahaja yang tidak tahu. Semoga dengan paparan ini akan menambahkan lagi pengetahuan kita semua.

Rujukan :Kitab فقه المرأة المسلمة   oleh Ibrahim Muhammad Hassan Aljamal

Share

Empat Syarat Cegah Munkar

May 23rd, 2010
Amar makruf nahi munkar

Amar makruf nahi munkar

Hadis sumber :

“من رأى منكم منكرًا فليغيره بيده، فمن لم يستطع فبلسانه، فمن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان”. (رواه مسلم في كتاب الإيمان من صحيحه عن أبي سعيد الخدري).

Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah  dia mencegahnya dengan tangan, siapa yang tidak mampu, cegahlah dengan lidahnya dan siapa tidak mampu dengan lidahnya, cegahlah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman” .(Riwayat Muslim dari Abi Said Al-Khudri)

Syarat-syarat mencegah kemungkaran

Syarat pertama : Perkara yang ingin ditegah ialah yang berstatus haram sahaja :

Ianya bererti perkara yang diharamkan oleh ulama secara ijmak. Selain dari perkara haram tidak disebut munkar. Perkara yang haram itu samaada melakukan yang ditegah ataupun meninggalkan yang disuruh. Yang haram itu juga tidak kira kecil atau besar.

Perkara-perkara yang makruh tidak termasuk dalam perkara munkar yang layak ditegah. Didalam sebuah hadis diceritakan bahawa seorang lelaki bertanyakan Nabi S.A.W kewajipan yang Allah fardhukan ke atasnya di dalam islam. Nabi pun menjelaskan kepadanya tentang solat, zakat, puasa. Lelaki itu bertanya Nabi mengenai setiap ibadat itu : Adakah lagi yang wajib aku lakukan? Jawab nabi “tidak!” melainkan perkara ibadat sunat sahaja. Lelaki itu pun berazam akan melakukan perkara wajib seperti yang dijelaskan Nabi kepadanya dengan katanya : Wahai Rasulullah! Aku tidak mahu menambah atau mengurangkan kewajipan yang telah engkau sebutkan tadi. Nabi pun bersabda : “ Jika kamu bercakap benar, kamu akan berjaya atau memasuki syurga” (muttafaq alaih dari Talhah bin Ubaidillah)

Dari Hadis di atas jelas dan difahami bahawa yang perlu ditegah itu ialah yang haram sahaja. Perkara cabang yang menjadi pertikaian hukum di kalangan ulama dulu dan sekarang, tidak  boleh ditegah sewenangnya lebih-lebih lagi oleh orang perseorangan.

Antara perkara –perkara khilaf yang tidak termasuk dalam perkara munkar yang perlu ditegah ialah : masalah merakam gambar (Kodak atau filem), menyanyi atau bernasyid menggunakan alat-alat tertentu, perempuan yang tidak memakai niqab, melantik perempuan sebagai hakim dan sebagainya lagi.

Mengikut pandangan kebanyakan ulama bahawa pandangan minoriti boleh diambil kira walaupun ahlinya seorang sahaja asalkan dia adalah seorang ahli ijtihad. Berapa banyak pendapat yang tidak popular  pada suatu masa dahulu, tetapi sekarang menjadi popular. Berapa banyak juga pandangan seorang ahli fekah itu dipertikaikan tetapi akhirnya dibela dan disokong oleh ulama lain.

Di beberapa tempat terdapat golongan-golongan radikal yang mahu merobohkan kedai-kedai yang menjual anak patung kanak-kanak dengan alasan ianya adalah berhala dan  memiliki anggota yang lengkap yang boleh dikategorikan sebagai dosa besar!

Apabila dikatakan kepada mereka bahawa ulama sejak dahulu lagi menghalalkan patung kanak-kanak.! Mereka menjawab bahawa patung tersebut tidak termasuk dalam kategori yang digariskan ulama di mana matanya boleh dibuka dan ditutup!

Lalu dijawab balik bahawa patung-patung tersebut tidak dimuliakan dan dilempar sana sini, maka ianya tidak menjadi masalah untuk dimiliki oleh kanak-kanak. Begitu juga kaki dan tangannya boleh dicabut begitu juga dengan tengkuknya. Selepas itu mereka tidak ada jawapan untuk dibalas.

Ada juga di sesetengah tempat dimana segolongan orang yang radikal  cuba menutup restoran-restoran, kedai-kedai makan dan kedai-kedai kopi secara agresif hanya setelah mengetahui ada negara-negara lain telah mengumumkan bahawa hari tersebut telah bermula bulan puasa padahal ditempatnya belum lagi. Golongan yang syadid itu berpandangan bahawa bulan puasa telah pasti, maka tidak boleh menjamu selera secara terang-terangan, padahal mereka tidak tahu bahawa itu adalah perkara khilaf dan tidak perlu gopoh gapah membuat keputusan.

Syarat kedua : Perkara munkar itu hendaklah yang berlaku secara terang-terangan di depan mata.

Adapun perkara munkar yang disembunyikan oleh pelakunya dari pandangan orang ramai yakni secara senyap-senyap di dalam rumah misalnya, maka tidak boleh orang lain mengintipnya seperti meletakan kamera video di  tempat tersembunyi dengan tujuan mencari kesalahan pelakunya.

Syarat yang kedua ini terkandung dalam lafaz Hadis : “من “رأى” منكم منكرًا فليغيره…”

Ertinya : “ sesiapa di kalangan kamu yang melihat perkara munkar, hendaklah dia mencegahnya….”

Yang disuruh cegah ialah kemungkaran yang dilihat sahaja bukannya yang hanya didengar.

Demikian kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada perlakuan munkar yang dilakukan secara sembunyi. Hanya kepada Allah sahaja diserahkan hukumannya di akhirat kelak. Dengan itu orang lain tidak berhak dan tidak boleh berusaha mendedahkan perlakuan munkarnya di khalayak ramai. Kita hanya disuruh bertindak mencegah kemungkaran yang zahir sahaja sementara yang tersembunyi kita hendaklah menyerahkannya kepada Allah S.W.T.

Ada sebuah kisah yang berlaku dimana Amirul Mukminin Umar Al-Khattab R.A pada suatu hari telah menyelinap ke dalam rumah seorang lelaki melalui bumbung rumahnya. Kemudian saidina Umar melihat lelaki itu melakukan satu perkara yang tidak baik lalu dia pun menegah lelaki tersebut dari berbuat demikian. Kemudian lelaki itu berkata : “ Wahai Amiirul Mukminin, kesalahan yang aku lakukan ini adalah satu jenis sahaja, sedangkan engkau melakukan 3 jenis kesalahan” Umar pun bertanya: “Apakah yang kau maksudkan?” Lelaki itupun berkata : “Allah melarang kita dari mengintip seperti dalam surah Al-Hujurat ayat 12, tetapi kamu mengintip aku. Kedua, Allah menyuruh kita memasuki rumah dari pintunya seperti yang terkandung dalam surah Al-Baqarah ayat 189, sedangkan kamu pula memasuki rumahku dari bumbung. Ketiga, Allah menyuruh kita memasuki rumah yang bukan rumah sendiri dengan memberi salam melalui ayatNya dalam surah An-Nur tetapi engkau tidak memberi salam semasa memasuki rumahku! Umar pun meninggalkan lelaki itu dengan syarat dia bertaubat dari kesalahan yang telah dilakukannya tadi.

Syarat ketiga : Kemampuan mencegah.

Ertinya pihak yang mahu mencegah kemungkaran itu mestilah ada kekuatan samaada dirinya sendiri atau dengan pertolongan orang lain yakni berkumpulan dengan menggunakan kuasa yang ada samaada dari sudut peralatan mahupun pengaruh. Dengan kemampuan ini akan menjadikan tindakan pencegahan itu dilaksanakan dengan mudah.

Syarat ini juga diambil dari hadis Abi Said; dengan sabda Nabi S.A.W : “Sesiapa yang tidak mampu (mencegah dengan tangan) maka cegahlah dengan lidah”. Biarkan pencegahan dengan tangan dilakukan oleh pihak berkuasa, cukuplah dia mencegah dengan kata-katanya. Itupun sekadar kemampuannya.

Pelaksanaan tegahan itu hendaklah ke atas orang yang berada di bawah bidang kuasanya sahaja seperti suami dengan isteri, ayah dengan anak-anaknya, pemilik pertubuhan dengan ahli-ahlinya dan pemerintah dengan rakyat jelatanya.

Syarat keempat : Pencegahan yang dilakukan tidak menimbulkan keburukan yang lebih besar.

Sekiranya ditakuti jika perbuatan mungkar yang akan dicegah akan menyebabkan perkara yang lebih buruk berlaku seperti pertumpahan darah, pencemaran maruah dan kerosakan harta benda, maka ulamak membenarkan perkara mungkar tersebut dibiarkan demi mngelakan kejadian yang lebih buruk. Dalil syarat yang keempat ini terdapat dalam Al-Quran di dalam surah Taha iaitu kisah Nabi Musa a.s dan kaumnya, bani israil ketika mana baginda pergi berjumpa Tuhannya (Allah) yang memakan masa 40 malam. Sepeninggalan baginda, samiri telah menimbulkan fitnah kepada bani israil dengan mencipta patung anak lembu dari emas sehingga menyebabkan bani israil menyembah patung tersebut. Nabi Harun a.s yang diamanahkan oleh Nabi Musa menjaga bani israil telah menasihatkan mereka agar tidak menyembah patung anak lembu tersebut tetapi tidak diendahkan oleh mereka. Mereka berkata kepada Nabi harun :

“Kami akan tetap menyembah patung anak lembu ini, hingga Musa kembali kepada kami”.

(Taha : 91)

Kemudian Nabi Musa pun kembali dari berjumpa Tuhannya lalu melihat perkara mungkar yang telah dilakukan oleh kaumnya itu. Baginda menjadi marah dengan saudaranya Nabi Harun  kerana tidak mencegah perbuatan mungkar yang telah dilakukan mereka. Disebabkan marah yang keterlaluan, Nabi Musa pun menarik janggut Nabi Harun menghampirinya lalu berkata :

Hai Harun, apa yang menghalangi kamu ketika kamu melihat mereka Telah sesat,

(sehingga) kamu tidak mengikuti Aku? Maka apakah kamu Telah (sengaja) mendurhakai perintahku?”

Harun menjawab’ “Hai putera ibuku, janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku;

Sesungguhnya Aku khawatir bahwa kamu akan Berkata (kepadaku): “Kamu Telah memecah antara Bani Israil

dan kamu tidak memelihara amanatku”.

(Taha : 92-94)

Dari ayat tadi dapatlah difahami bahawa Nabi Harun mengutamakan perpaduan di kalangan bani israil sepeninggalan Nabi Musa a.s berbanding syirik yang dilakukan mereka di mana perpecahan itu lebih buruk akibatnya pada waktu itu. Kedua-dua orang Nabi tadi faham bagaimana untuk menghadapi situasi getir secara bijaksana.

Demikianlah empat syarat yang wajib dipenuhi oleh orang yang ingin mencegah kemungkaran dengan tangannya(kuasa).

Tidak perlu gopoh dalam mencegah kemungkaran kecil :

Buat golongan yang sangat mengambil berat dalam memperbaiki cara hidup umat islam dari gejala-gejala mungkar yang berpunca dari negara barat, adalah tidak cukup dengan hanya mencegah perkara mungkar yang kecil-kecil sahaja seperti majlis nyanyian, wanita mendedah aurat di jalanan, menjual VCD yang tak sepatutnya.

Di sana terdapat perkara yang lebih utama diberi perhatian iaitulah membuat perubahan yang merangkumi pemikiran, nilai hidup, akhlak, ikutan, peraturan dan undang-undang.

Untuk mencapai kepada matlamat itu, terlebih dahulu hendaklah diubah masyarakat itu dari dalam secara berterusan dari sudut tunjuk ajar, pendidikan dan teladan. Apabila manusia itu mengubah keadaan diri mereka layaklah mereka diubah oleh Allah S.W.T bertepatan dengan sunnah yang ditetapkan dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan  yang ada pada diri mereka sendiri. “(Arraadu : 11)

Pentingnya berlembut dalam mencegah kemungkaran :

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian di sini ialah berlemah lembut dalam mencegah perkara mungkar dan menyuruh pelakunya melakukan kebaikan, Rasulullah S.A.W telah mewasiatkan kita supaya berlembut, Baginda menjelaskan bahawa Allah S.W.T suka akan kelembutan dalam semua perkara, sifat lemah lembut itu akan menghiasi apa sahaja yang disertainya, jika sifat ini tidak ada pada sesuatu perkara, maka akan hilanglah serinya.

Ada sebuah kisah yang berlaku seperti yang diceritakan oleh Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya “Al-Ihya’ “ bahawa seorang lelaki pergi berjumpa Al-Makmun untuk menyuruhnya berbuat baik dan melarangnya dari berbuat mungkar, lalu dengan kasar dia berkat kepada Al-Makmun : “Wahai penzalim, wahai penjahat…….. “ Dalam keadaan itu Al-Makmun sebagai seorang lembut lagi bijak, tidak terus menghukum lelaki tersebut seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, tetapi dia berkata: “Wahai lelaki, berlembutlah sikit, sesungguhnya Allah telah mengutuskan orang yang lebih baik darimu kepada orang yang lebih zalim dariku…Allah menyuruhnya bersifat lembut, Dia mengutuskan Musa dan Harun yang lebih baik darimu kepada firaun yang lebih zalim dariku. Allah memerintahkan kedua-dua orang nabi tadi melalui firmanNya :

“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, Sesungguhnya dia Telah melampaui batas;

Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut”.(Taha:43-44)

Walaupun Allah S.W T menyifatkan firaun itu sebagai seorang yang melampaui batas, kelembutan itu tidak sepatutnya diabaikan walau setara manapun kezaliman yang dilakukan. Selama mana ada jalan yang lemah lembut, maka tidak perlu kepada kekasaran.

Sekian,

Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W  juga keluarga dan para sahabat Baginda.

Wallahu a’lam.

Dinukilkan dari : islamonline.net

Share

Kenduri Kahwin: Antara Adat dan Ibadat

December 21st, 2009

Tahun 2009 sudah hampir melabuhkan tirainya. Bulan Disember yang dilalui penuh dengan walimatul urus atau kenduri kahwin. Di Kedah kenduri kahwin  banyak diadakan pada hari sabtu dan Ahad.

Hiasan sahaja

Hiasan sahaja

Di sepanjang memenuhi jemputan tuan rumah menghadiri kenduri yang diadakan, pancaindera pasti tidak terlepas dari merasai perkara yang tak sepatutnya berlaku dalam masyarakat islam terutamanya di Malaysia : Nyanyian artis melalui CD atau DVD. Sesuatu yang mencacatkan keberkatan majlis. Bila ditanya”Mengapa begitu?” Jawapan yang diberi “Sesekali jer seumur hidup”. Jawapan yang tak sepatutnya. Namun begitu ada juga majlis kenduri yang berlangsung penuh dengan kawalan hukum. Tahniah atas keprihatinan itu.

Setiap bangsa ada adat dan cara hidup masing-masing.Ada yang baik dan ada yang sebaliknya. Pada kebiasaannya adat budaya sesuatu bangsa itu diwarisi dari generasi ke generasi atau diambil dari bangsa lain. Adat ini dijaga dan dipelihara sebaiknya sehingga ada yang mengganggapnya sebagai warisan bangsa atau kaum.

Realiti ini walaupun tidak dikira pelik pada kebanyakkan orang, tetapi kepada umat islam adalah sesuatu yang sangat jelek dan pelik. Bahkan lebih dari itu lagi iaitu mungkar. Mengapa begitu? Alasannya ialah Umat Islam agamanya Islam, Islam adalah cara hidupnya untuk selama-lamanya, mengapa hendak turun dari ketinggian Islam itu ke tahap yang lebih rendah?

Penyakit meniru cara hidup orang kafir ini atau dipanggil membudayakan budaya kafir telah membarah di dalam kehidupan orang-orang Islam sehingga merugikan Umat Islam itu sendiri. Contoh yang dapat dilihat ialah dalam pelaksanaan majlis perkahwinan. Kenduri kahwin yang disyariatkan Islam itu sudah bertukar wajah. Menukarkan yang haram kepada boleh umpamanya percampuran lelaki dan perempuan yang tak sepatutnya dan penganjuran tarian joget lambak. Ianya masih berlaku dalam masyarakat islam kini. Dengan keadaan ini jadilah Majlis kahwin itu jauh dari hukum syarak.

Oleh itu di sini akan dinyatakan ciri-ciri majlis perkahwinan yang sepatutnya dilakukan oleh orang islam sebagai peringatan dan bertepatan dengan ajaran Nabi Muhammad S.A.W agar majlis tersebut menjadi satu bentuk ibadat kepada Allah S.W.T dan sebab untuk mendapat redha dan taufikNya.

Kenduri kahwin dianjurkan adalah untuk mewar-warkan kepada orang ramai bahawa seseorang itu telah bernikah. Hal ini bertujuan mengelakkan buruk sangka dan umpatan jika orang disekeliling tidak tahu.

Di dalam sebuah Hadis Nabi S.A.W telah menyuruh kita mewar-warkan pernikahan yang telah berlangsung, Berdasarkan beberapa hadis nabi S.A.W dapatlah disimpulkan bahawa mewar-warkan pernikahan itu terjadi dengan tiga cara :

1) Kenduri : iaitu menjemput orang ramai makan makanan yang telah dimasak dan digulaikan. Sebaik-baik kenduri adalah denga daging kambing. Sesungguhnya Nabi S.A.W  mengadakan kenduri dengan tepung dan tamar ketika bernikah dengan Sofiyyah R.A. Begitu juga ketika bernikah dengan Zainab binti Jahsi R.A, Baginda mengadakan kenduri dengan daging kambing. Dalam peristiwa yang lain,  seorang sahabat memberitahu Nabi bahawa dia telah bernikah, lalu Nabi pun menyuruhnya mengadakan kenduri walaupun hanya dengan seekor kambing.

2) Nyanyian : Disunatkan bernyanyi di dalam majlis kenduri…tetapi lagu yang bagaimana? Lagu yang dibenarkan adalah seperti dalam bentuk syair atau senikata yang tidak ada unsur lucah dan kurang sopan. Lagu itu pula tidak boleh dinyanyikan oleh artis-artis yang profesionnya atau kerja utamanya  ialah menyanyikan lagu lagu yang tak sepatutnya seperti lagu lucah di tempat-tempat lain. Begitu juga lagu yang dinyanyikan itu tidak boleh beriringan dengan alatan muzik yang diharamkan seperti gitar dan biola. Sebaliknya alatan yang dibolehkan adalah seperti tamborin.

3)Tamborin :Dengan memukul tamborin akan menarik perhatian orang lalu dengan sendirinya berita pernikahan seseorang itu akan tersebar. Nabi S.A.W telah mengizinkan kita memukul tamborin pada hari perkahwinan dan hari raya.

Kesimpulan : Adalah menjadi kewajipan orang islam untuk mengembalikan hukum Islam yang mulia di dalam majlis-majlis perkahwinan yang dianjurkan lalu menjadikan majlis perkahwinan yang islamik itu tertegak tanpa ada unsur -unsur maksiat di dalamnya. Ini bukanlah satu tugas yang mudah. Namun begitu Alhamdulillah dalam masyarakat kita terdapat banyak penyair dan ahli sastera yang mampu menggubah syair yang menarik untuk didendangkan di dalam majlis kenduri kahwin.

Dalam masyarakat Islam yang lain ada juga orang yang menggubah kicauan lagu dan ada juga yang menggubah nada yang berbagai bagai untuk dimainkan dengan tamborin dan seumpamanya. Denganini tidaklah sukar untuk kita menyambut majlis perkahwinan yang bertepatan dengan tuntutan syarak. Lalu bebaslah kita semua dari bala yang besar dan penyakit masyarakat yang berbahaya yang telah menular di kebanyakkan negara Islam sehinggakan kita dapat lihat ada di kalangan orang islam itu mengalahkan orang barat dalam mengadakan majlis perkahwinan yang penuh dengan maksiat. majlis seperti ini biasanya diadakan di hotel-hotel dan tempat-tempat hiburan.

Hikmah mewar-warkan perkahwinan ialah :

1) Menyampaikan berita itu kepada masyarakat sekeliling agar tidak berlaku umpatan.

2) Menampakkan nikmat Allah S.W.T ke atas manusia dimana hubungan lelaki dan perempuan yang pada asalnya adalah haram, telah dihalalkan. Begitu juga menjadikan hukum halal kahwin dengan ibu bapa mertua pada asalnya, telah bertukar haram hanya kerana disebabkan ikatan perkahwinan tersebut.

p/s – Sebahagian artikel ini diterjemahkan dari buku kecil berbahasa arab yang bertajuk “Usulul Muaasyarah Azzaujiyyah” karangan Al-Qaadhi Assyeikh Muhammad ahmad Kan’an.

Related Posts with Thumbnails
Share